Tuesday 3 July 2012

Alexander hadiri Upacara Ngentak Tiang Rumah Jandok


KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi menghadiri Upacara ‘Ngentak Tiang’ Rumah Jandok, Ulu Yong di sini Sabtu lalu.
Ketika berucap, Alexander menasihati penduduk agar sentiasa bersepakat dalam merancang pelan rumah yang baharu agar memberi keselesaan di samping menunjukkan kemuafakatan penduduk yang mendiaminya.
“Bak kata pepatah, ‘rumahku, syurgaku’. Oleh itu, pastikan rumah yang baharu ini bersesuaian dengan pelan rumah masa kini, dengan mementingkan aspek seperti ruang bacaan untuk anak-anak yang masih bersekolah, serta bahagian-bahagian rumah yang lain.
“Malah, saya memahami kini ramai penduduk di rumah-rumah panjang membina rumah baharu kerana konsep rumah panjang yang lama agak tidak bersesuaian dengan corak hidup kita masa kini.
“Namun begitu,  konsep rumah panjang yang lama masih mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan harus dijaga untuk tujuan ekopelancongan,” katanya.
Hadir sama Penyelia Kanan KEMAS Kapit Ambrose Abong Bugek, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Mohd Matan Yok dan Kanchin Manggom.
Alexander turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,500 kepada Rumah Jandok, Ulu Yong yang baharu, bagi membantu mereka membeli bahan binaan rumah.
Sementara itu, Ambrose mengingatkan JKKK rumah panjang agar sentiasa menyediakan profil kampung mereka bagi memudahkan lagi proses menghulurkan bantuan kepada kampung-kampung.
“Banyak JKKK di rumah-rumah panjang yang belum mempunyai profil kampung yang lengkap.
“Oleh itu, sekali lagi saya mengingatkan para ahli JKKK setiap rumah panjang agar menyediakan profil kampung yang lengkap bagi memudahkan lagi proses kita mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh sesebuah kampung, di samping untuk tujuan rekod kita pada masa depan,” ujarnya.
Alexander bersama rombongan turut singgah melawat tapak Rumah William Unchat, Ulu Yong untuk meninjau proses meratakan tapak rumah baharu tersebut.


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/07/03/alexander-hadiri-upacara-ngentak-tiang-rumah-jandok/#ixzz1zZpsRG00

No comments:

Post a Comment