Tuesday 3 July 2012

Penduduk Parlimen Selangau perlu sabar tunggu kemudahan


SELANGAU: Penduduk di kawasan Parlimen Selangau diminta bersabar menunggu pelbagai bentuk kemudahan termasuk bekalan elektrik, air bersih dan rangkaian perhubungan jalan raya.
Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, usaha ini penting kerana semua projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan memerlukan masa untuk sampai ke semua tempat.
“Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kerajaan sememangnya sentiasa komited terhadap keperluan rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai bentuk projek pembangunan dan kemudahan.
“Apa yang pentingnya rakyat teruskan usaha untuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan untuk membangunkan semua rakyat di negara ini, khasnya penduduk di kawasan Parlimen Selangau,” tegasnya.
Entulu berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mini Pemakanan Sihat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Selangau di Rumah Santok, malam kelmarin.
Timbalan Menteri  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu turut menyeru kepada penduduk di kawasan Parlimen Selangau supaya mengekalkan perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat majmuk dengan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional.
“Rakyat wajar menyokong transformasi kerajaan dalam usaha membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat di negara ini,” ujarnya.
Menerusi ucapannya, Entulu turut menasihati penduduk di kawasan berkenaan agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda dan dakyah parti pembangkang yang disifatkan demi agenda politik mereka.
“Kita harusnya menge-tepikan dakyah segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Mereka cuba menghasut pemikiran rakyat demi mencapai kepentingan politik mereka.
“Oleh itu, sebagai rakyat yang inginkan kemajuan dan pembangunan, bersama-samalah kita memberi sokongan penuh kepada segala usaha kerajaan demi kemakmuran rakyat,” katanya.
Pada majlis yang sama, Entulu turut menyampaikan surat pengesahan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada 11 penerima, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lima penerima dan empat penerima bantuan kerusi roda.
Selain itu, Entulu turut menyampaikan bantuan Tabung Pendidikan Parlimen Selangau kepada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu yang memperolehi keputusan cemerlang.
Entulu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Santok.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh, Penolong Pengarah Negeri KEMAS Joseph Unsong dan Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang.


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/07/02/penduduk-parlimen-selangau-perlu-sabar-tunggu-kemudahan/#ixzz1zZqZgI00

No comments:

Post a Comment