Tuesday 3 July 2012

Belia Cina diyakini akan sokong BN


KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusof yakin belia Cina akan memberi sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Bercakap kepada pemberita semalam beliau berkata berdasarkan sentimen positif ditunjukkan belia Cina, BN boleh melakukan yang lebih baik berbanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu.
“Saya berpendapat kita (BN) akan meraih keputusan lebih baik kali ini berbanding pilihan raya negeri lalu disebabkan sokongan belia Cina semakin meningkat.
“Anda boleh melihat sendiri ramai pemimpin muda Cina yang bersungguh-sungguh mahu BN menang kali ini,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Pending di pusat khidmatnya di Jalan Astana dekat sini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai sokong belia Cina kepada BN ketika ini.
Antara yang hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua SPDP Pending Athanasius Audie Chua dan Naib Presiden SPDP Kapten (Bersara)  Zainuddin Tan Sri Hamdan dan Ketua Wanita  SPDP Cawangan Pending Winnie Lim.
Mengenai perkembangan lain, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pending memberi sokongan penuh kepada majlis penganjuran Malam 1Malaysia dengan P195 dan P196 anjuran Sayap Wanita SPDP Pending.
Program yang bakal diadakan pada 29 Ogos ini dengan tema ‘Malam Filem Amal, Rakan Karib Selamanya’ di  MBO Cineplex, tHe Spring Shopping Mall merupakan antara inisiatif diambil Wanita SPDP Pending mengukuhkan hubungan dengan parti komponen BN lain.
Selain itu, kata Lim objektif program berkenaan ialah melancarkan jentera BN untuk Parlimen Bandar Kuching dan Stampin.
“Program ini dianjurkan untuk memberi sokongan kepada parti komponen BN kita terumata calon SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) untuk Bandar Kuching dan Stampin sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” jelasnya.
Tetamu kehormat program itu ialah Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin.
Semua parti komponen BN iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), PBB, SPDP dan SUPP akan menghantar wakil masing-masing ke majlis itu nanti.


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/07/02/belia-cina-diyakini-akan-sokong-bn/#ixzz1zZqO6BeS

No comments:

Post a Comment