Wednesday 25 July 2012

SWP lebih suka bersikap tunggu dan lihat dalam isu Wong Judat






KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) lebih suka bersikap tunggu dan lihat daripada merasa terlalu teruja dengan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat untuk meninggalkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan menyertai SWP.

Presiden SWP Larry Sng berkata, parti itu perlu menunggu pengesahan bertulis daripada Judat yang juga Naib Presiden SPDP.

“Kita perlu menunggu permohonannya untuk menyertai parti sebelum membuat sebarang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasan tetapi pemerhati politik membayangkan SPDP memerlukan masa dan ruang sebelum membuat kenyataan.

Bagaimanapun, mereka percaya tindakan Judat yang secara sukarela meletak jawatan daripada SPDP akan mengurangkan masalah bagi pemimpin dan majlis tertinggi parti untuk membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap beliau.

Dengan penarikan diri Wong daripada SPDP, parti tersebut hanya mempunyai seorang ADUN sahaja iaitu Mawan (DUN Pakan) selepas empat ADUN Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) dipecat daripada parti kerana menentang pucuk pimpinan.

Judat membuat kenyataan untuk meninggalkan SPDP dan menyertai SWP selepas majlis Pentas Rakyat SWP di Kanowit malam Sabtu lepas.

Bagaimanapun ini tidak mengejutkan pemerhati politik kerana Judat sudah membayangkan beberapa kali terutamanya selepas kelihatan terlalu rapat dengan pemimpin SWP.

Judat turut menyatakan rasa tidak senang dengan cara Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum meng-agihkan dana pembangunan di Julau yang disebutnya sebagai alasan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun beliau menegaskan tidak menentang BN, SPDP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).



No comments:

Post a Comment