Tuesday 17 July 2012

Malaysia maju kerana ‘Janji Ditepati’, kata Najib



KUALA LUMPUR, 17 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kemajuan yang dinikmati  Malaysia hari ini adalah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak 55 tahun lalu telah menunaikan segala janji mereka kepada kepada rakyat.
Menurut perdana menteri itu lagi, kerajaan BN juga bertanggungjawab melakukan transformasi di negara ini daripada negara pertanian kepada negara industri, diikuti negara maju berpendapatan tinggi anjuran pentadbirannya.
"Kita maju dan berjaya kerana kerajaan telah menepati janji sepanjang pemerintahan selama 55 tahun kepada rakyat.
"Kita janji negara yang  bersatu padu. Kita telah jamin transformasi negara daripada pertanian, kepada negara industri, dan kini negara maju berpendapatan tinggi," kata Najib(gambar) ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang, sempena sambutan kemerdekaan ke-55.
Walaupun tema kemerdekaan tahun ini dakwa pembangkang bermotifkan politik kerana merupakan slogan kepada BN, tema "Janji Ditepati" itu menurut Najib dipilih kerana kerajaan BN yang diterajuinya telah berjaya melaksanakan segala janji yang di berikan kepada rakyat.
BN juga telah menggunakan slogan sama dalam Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) ke seluruh negara dengan memfokuskan kepada pemberian-pemberian dan bantuan yang diberikan kepada rakyat.
"Kita telah janji banyak kepada rakyat, BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia), Menu Rakyat 1 Malaysia, termasuk Kedai Kain 1 Malaysia telah dilancarkan, dan banyak lagi," katanya ketika merasmikan program sempena bulan kemerdekaan pada 31 Ogos nanti di Little India di Brickfields  yang majoritinya dihuni masyarakat India.
Selain di Brickfields, program sama turut diadakan di dua lokasi utama kaum terbesar negara ini, iaitu di Kampung Baru untuk komuniti masyarakat Melayu, dan China Town di Jalan Petaling yang majoritinya dihuni masyarakat Cina.
"Di bawah langit 1 Malaysia ini kita perlu dasar yang ada untuk semua kaum. Kita telah buktikan perkara ini, termasuk untuk masyarakat India, kita telah tunjukkan banyak masalah masyarakat India telah ditangani.
"Kita  akan teruskan perjuangan ini, dan apa yang kita dapat kesan perkara penting untuk India dan kaum lain akan diteruskan oleh kerajaan," tambah perdana menteri itu lagi.

Sejurus ucapannya, Najib turut melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali sebagai simbolik kepada sambutan kemerdekaan negara.

No comments:

Post a Comment